Kadangkala kita sering tertanya-tanya kenapa
hubungan cinta yang dibina sering terputus di tengah jalan. Sering ditinggalkan
pasangan atas alasan yang tidak munasabah, atau si dia tiba-tiba bersikap
dingin tanpa menyuarakan sebab? Sebelum menunding jari ke arah pasangan anda,
ikuti dahulu tip-tip yang diberikan EH! agar hubungan yang dibina tidak
diakhiri dengan perbalahan yang meleret sepanjang hayat.
1. MUHASABAH DIRI
Sememangnya menjadi lumrah untuk kita menyalahkan
seseorang atas sesuatu kegagalan, begitu juga dalam perhubungan. Pabila ianya
hancur di tengah jalan, kita cepat menunding jari ke arah pasangan tanpa
membuat refleksi diri. Ya, mungkin terdapat kesalahan yang dilakukan pasangan
anda, tetapi kita juga haruslah meneliti akan kesalahan yang dilakukan sendiri.
Tidak mustahil ianya akan membawa jawapan kepada persimpangan yang dihadapi
dalam perhubungan anda.
2. SALING BERKOMUNIKASI
Komunikasi merupakan elemen yang amat penting dalam
sesuatu perhubungan. Saling berbicara mengenai perasaan atau ketidakpuasan yang
terpendam adalah sesuatu yang menyihatkan. Ianya membantu anda untuk lebih
mengenali serta memahami pasangan secara mendalam. Janganlah takut untuk
berterus-terang kerana ianya hanya akan meninggalkan lurah di hati seterusnya
mewujudkan perasaan negatif yang memakan diri.
3. BERTOLAK-ANSUR
Perhubungan yang utuh bukanlah berdasarkan kepada
cinta sahaja, tetapi juga tanggungjawab serta sifat tolak-ansur kepada
pasangan. Kehidupan berpasangan bermaksud penyatuan dua insan yang berlainan
watak serta cara, jadi ianya adalah lazim untuk setiap pasangan bertekak kerana
citarasa yang berbeza. Di sinilah sikap tolak-ansur memainkan peranan. Saling
memberi dan menerima serta mengalah bukanlah bermaksud anda tiada pendirian,
tetapi lebih kepada adat perhubungan yang harus diterap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan