Khamis, 20 November 2014

Turunkan 2kg Dalam 2 Minggu?

 Ramai yang cuba untuk menurunkan berat badan dan mahukan keputusan segera. Namun tidak semua dari kita dilahirkan dengan tahap metabolik yang tinggi untuk membakar lemak dengan mudah dan perlu berusaha lebih sedikit dari mereka yang sememangnya langsing dan bersusuk ramping.

EH! temui beberapa cara yang boleh kita cuba bersama dan mungkin dapat mengurangkan 2kg dalam masa dua minggu sekiranya anda betul-betul disiplin dengan panduan yang dicadangkan.

1. Pemakanan
Pengambilan makanan adalah kunci dalam usaha mengurangkan berat badan, jadi cuba kembali kepada pemakanan asas selama 14 hari. Pilih menu seperti orang zaman dahulu yang tidak terdedah kepada makanan yang diproses atau mengandungi bahan pengawet. Jadi makanlah sebanyak mungkin ayam, daging lembu, ikan dan sayur-sayuran yang dimasak tanpa minyak, dipanggang atau gril. Sebaiknya pilihan bahan mentah organik adalah lebih bagus.

2. Senaman
Untuk meningkatkan tahap metabolisme bagi lapan jam berikutnya, cuba rutin senaman 4 hari seminggu selama 40 minit dengan mesin gim seperti treadmill, basikal atau cross trainer. Mulakan dengan warm-up kemudian menambah tahap intensiti setiap tiga minit (hingga capai tahap tertinggi yang mampu) berselang dengan menurunkan tahap intensiti setiap tiga minit sehingga anda selesai 40 minit itu. (sila dapatkan nasihat doktor bergantung pada tahap kesihatan anda)

3. Aktiviti
Membakar kalori dengan pergerakan adalah cara terbaik untuk memasukkan aktiviti dalam rutin harian. Semudah parkir kereta lebih jauh supaya dapat berjalan lebih atau turun bas/teksi beberapa minit sebelum tiba destinasi. Naik turun tangga dan bukan lif jika destinasi hanya satu atau dua tingkat tingginya. Selain itu boleh bakar kalori dengan aktiviti dirumah seperti menyapu atau menyelia taman. Juga disarankan bangun dari tempat duduk (sofa di rumah atau kerusi pejabat) setiap 30 minit – jika lupa pasang penggera pada jam telefon.

4. Tidur
Semudah dapatkan tidur secukupnya selama lapan jam. Kajian menunjukkan kekurangan tidur meningkatkan rembesan ghrelin (sejenis hormon yang terbentuk dalam perut dan buah pinggang) menyebabkan seseorang itu mudah berasa lapar. Pastikan juga ada kitaran tidur yang tetap dan rehat secukupnya (unwind) sebelum masuk tidur.

5. Zat Ekstra
Tambahan kepada kawalan pemakanan dan gaya hidup sihat, pengambilan supplement seperti Omega 3, Vitamin D dan L Carnitine dapat membantu mengurangkan lemak serta usaha yang dicurahkan dalam masa dua minggu ini.


*Disarankan untuk mendapatkan nasihat pakar sebelum menjalani program intensif seperti doktor peribadi mengenai nutrisi dan jurulatih profesional mengenai rutin senaman

Gaya Tidur Melambangkan Personaliti

Kadangkala kita tidak sedar dengan posisi tidur yang bermacam-macam gaya. Tapi tahukah anda, gaya tidur sebenarnya boleh menggambarkan personaliti seseorang? Mengikut suatu kajian yang telah dilakukan ke atas 1,000 orang, terdapat 6 posisi tidur yang menjadi kebiasaan kita.

1. TIDUR TERLENTANG DENGAN TANGAN DI ATAS BANTAL DAN KEPALA KE SISI
Seorang yang suka bergaul dan agak kurang ajar. Mereka yang tidur dengan posisi ini juga mempunyai personaliti yang agak tegang serta bermuka tebal tetapi sering terasa hati dengan kritikan yang diterima.

2. GAYA BAYI (BERBARING KE POSISI KIRI DENGAN KAKI BENGKOK)
Digambarkan sebagai seorang yang kasar dari segi luaran tetapi sebenarnya pemalu dan sensitif. Mereka memerlukan masa untuk mesra dengan orang lain tetapi akhirnya akan tampil biasa. Tahukan anda bahawa tidur dengan mengiring ke kiri boleh mendatangkan kompilasi kepada organ dalam badan seperti hati dan paru-paru? Jika anda tidur dengan gaya ini, seeloknya mengiring lah ke kanan.

3. TIDUR MENGIRING LURUS DENGAN KEDUA BELAH TANGAN DI SISI
Gemar bersosial serta senang bergaul tetapi sering ditipu kerana kelemahan mereka yang cepat percaya akan setiap individu termasuklah mereka yang tidak dikenali.

4. TIDUR MENGIRING DENGAN KEDUA TANGAN MENDEPA KE HADAPAN
Sukakan benda yang baru tetapi juga sering berkelakuan sinis dan curiga terhadap orang. Mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan dengan menyenaraikan keburukan serta kebaikannya berulang kali. Tetapi setelah sesuatu keputusan dibuat, mereka jarang mengubah pendirian atau menyesal.

5. TIDUR TERLENTANG
Seorang yang pendiam serta tidak gemar menguar-uarkan tentang sesuatu perkara. Namun, mereka ini sering meletakkan standard yang tinggi untuk diri sendiri dan juga orang lain dalam sesuatu hal.

6. TIDUR TERLENTANG DENGAN KEDUA BELAH TANGAN DI ATAS

Seorang pendengar dan kawan yang baik. Sering menghulurkan bantuan dan tidak suka akan populariti.

Rabu, 19 November 2014

Elak Jatuh Cinta

 Wanita secara lahiriah adalah manusia yang suka dilindungi dan tidak boleh dibiar sunyi. Jika ada lelaki yang melayan mereka penuh tertib dan hormat, peratus untuk mereka jatuh hati adalah tinggi. Ketahui cara untuk mengawal rasa diri agar tidak terlalu mudah jatuh kasih dan menghargai cinta sejati.

Ambil masa
Wanita yang baru putus cinta lebih mudah untuk menerima mana-mana lelaki yang hadir dalam hidup mereka seterusnya, dan ini dipanggil hubungan rebound. Apa kata anda ambil masa untuk merawat luka yang ada. Jangan terlalu cepat menganggap lelaki yang baik kepada anda itu adalah ‘The One’. Anda bisa buat keputusan yang salah dek terlalu cepat ingin menggantikan kekasih yang hilang tanpa berfikir panjang.

Jadi sibuk
Masa yang terluang tanpa sebarang aktiviti menyebabkan anda bosan dan fikiran menerawang memikirkan betapa sunyinya hidup tanpa kekasih. Apa kata isi masa lapang bersama rakan baik anda melakukan pelbagai aktiviti menarik untuk mencatat momen indah dalam hidup. Anda juga boleh melaksanakan perkara berfaedah untuk diri sendiri seperti bersenam, beriadah aktiviti lasak mahupun belajar ilmu baru seperti memasak dan menjahit.

Hormat diri sendiri
Wanita yang kerap jatuh cinta sering dianggap mereka yang tidak punyai harga diri dan menganggap cinta itu terlalu murah harganya. Jaga maruah dengan jadi lebih memilih apabila tiba bab mencari kekasih hati.

Bijak dalam membezakan

Tahu yang mana satu perasaan cinta sejati dan tarikan sementara dek rupa parasnya yang menawan. Kerana itu beri peluang kepada hubungan yang terjalin itu melalui fasa perkenalan dan elak diri dari terlalu cepat termakan budi atau kata-kata manis.

Baik Buruk Bercinta Dengan Lelaki Lebih Muda

 Umur bukan lagi penghalang untuk seseorang itu jatuh cinta. Perkara biasa jika kita mendengar perempuan bercinta dan berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia. Sejak akhir-akhir ini, trend bercinta dengan lelaki yang jauh lebih muda makin menjadi-jadi. Kalau kita perhatikan para selebriti wanita kita pun ada yang selesa memilih untuk bercinta dan berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. EH! kongsikan pros dan cons bercinta dengan lelaki lebih muda.
KEBAIKAN

Awet Muda
Kata orang jika pasangan kita jauh lebih muda, kita akan curi sedikit awet muda dari pasangan. Rakan-rakan takkan tahu yang si dia jauh lebih muda dari kamu kerana mungkin cara kamu berdua bercinta membuatkan nampak sebaya.


Manja
Ada sesetengah wanita yang suka memanjakan pasangan mereka. Dan tak semua lelaki suka dimanjakan lagi-lagi lelaki yang berusia. Tapi berbeza dengan lelaki muda, mereka lebih suka di belai dan dimanjakan pasangan sebab itu dia memilih kamu!

KEBURUKAN

Kurang Matang
Risiko bercinta dengan lelaki muda adalah dari segi kematangannya. Ia sedikit mencabar apabila kamu perlu beralah untuk beberapa perkara kerana sikapnya yang kurang matang. Jadi harus banyak bersabar melayan kerenah si dia yang muda!

Kewangan
Jangan expect lelaki muda mempunyai kewangan yang kukuh, kalau ada pun cuma segelintir. Silap haribulan kamu yang perlu menyara si dia.

Komitmen

Lelaki muda selalunya belum puas lagi dengan zaman bujangnya jadi untuk settle down akan menjadi list terakhir baginya. Usia kamu semakin meningkat dan rasanya dah tiba masa untuk berkahwin tapi rasanya bukan untuk dia.

Adakah Dia ‘The One’ Yang Anda Cari?

 Hubungan cinta antara seorang lelaki dan seorang perempuan mampu untuk bertahan sehingga bertahun-tahun, apatah lagi jika kedua-kedua belah keluarga telah merestui perhubungan itu tetapi bagaimana anda ingin ketahui jika dia adalah jodoh yang dicari?

Zaman sekarang, couple atau bercinta boleh bermula seawal zaman remaja lagi tetapi bukan semua mampu untuk bertahan sehingga ke jinjang pelamin. Perselisihan faham adalah perkara biasa tetapi jika si dia tidak boleh menerima pendapat dengan hati terbuka, hubungan itu mungkin boleh terlerai di tengah jalan. Oleh itu, EH! akan memberikan beberapa tip untuk anda ketahui jika si dia adalah Mr Right yang dicari.

1. Boleh menerima seadanya
Bukan semua lelaki atau wanita mampu untuk menerima kekurangan dan kelebihan yang terdapat dalam diri anda. Ini mungkin boleh disebabkan oleh ego atau self-esteem yang rendah dan orang seperti ini tidak sepatutnya dijadikan teman hidup kerana anda tidak mahu sepanjang hidup anda diikat sepanjang masa.

2. Tidak berkira
Dalam apa juga keadaan seorang pasangan yang memahami tidak sepatutnya berkira dengan anda. Baik dari segi wang ringgit, perasaan mahupun tenaga, dia seharusnya ikhlas dalam menolong anda kerana jika cinta telah melebih segalanya he or she will be more than happy to help!

3. Sanggup bertolak-ansur
Kadang-kala dalam satu hubungan terdapat seseorang yang ingin mengawal hubungan itu dengan cara yang lembut ataupun kasar. Tetapi dalam hal ini ia sepatutnya menjadi two way street kerana anda juga pasti mempunyai pendapat sendiri yang ingin diwartakan oleh itu jangan takut atau segan untuk bersuara kerana anda juga mempunyai hak dalam hubungan itu. Jika dia tidak boleh menerimanya bermakna he is not meant for you!

4. Menghormati anda dan keluarga

Jika hormat tidak terdapat dalam kamus hidupnya maka dia bukanlah jodoh anda kerana seseorang itu seharusnya belajar untuk menghargai dan menghormati anda dan juga keluarga anda dalam apa juga keadaan. Ingat, anda berhak untuk dilayan dengan baik kerana seorang manusia mempunyai hati dan perasaan oleh itu jangan beri peluang untuk dia mensia-siakan hidup kamu.

Putus Cinta Cara Baik

Kadangkala kita sering tertanya-tanya kenapa hubungan cinta yang dibina sering terputus di tengah jalan. Sering ditinggalkan pasangan atas alasan yang tidak munasabah, atau si dia tiba-tiba bersikap dingin tanpa menyuarakan sebab? Sebelum menunding jari ke arah pasangan anda, ikuti dahulu tip-tip yang diberikan EH! agar hubungan yang dibina tidak diakhiri dengan perbalahan yang meleret sepanjang hayat.

1. MUHASABAH DIRI
Sememangnya menjadi lumrah untuk kita menyalahkan seseorang atas sesuatu kegagalan, begitu juga dalam perhubungan. Pabila ianya hancur di tengah jalan, kita cepat menunding jari ke arah pasangan tanpa membuat refleksi diri. Ya, mungkin terdapat kesalahan yang dilakukan pasangan anda, tetapi kita juga haruslah meneliti akan kesalahan yang dilakukan sendiri. Tidak mustahil ianya akan membawa jawapan kepada persimpangan yang dihadapi dalam perhubungan anda.

2. SALING BERKOMUNIKASI
Komunikasi merupakan elemen yang amat penting dalam sesuatu perhubungan. Saling berbicara mengenai perasaan atau ketidakpuasan yang terpendam adalah sesuatu yang menyihatkan. Ianya membantu anda untuk lebih mengenali serta memahami pasangan secara mendalam. Janganlah takut untuk berterus-terang kerana ianya hanya akan meninggalkan lurah di hati seterusnya mewujudkan perasaan negatif yang memakan diri.

3. BERTOLAK-ANSUR

Perhubungan yang utuh bukanlah berdasarkan kepada cinta sahaja, tetapi juga tanggungjawab serta sifat tolak-ansur kepada pasangan. Kehidupan berpasangan bermaksud penyatuan dua insan yang berlainan watak serta cara, jadi ianya adalah lazim untuk setiap pasangan bertekak kerana citarasa yang berbeza. Di sinilah sikap tolak-ansur memainkan peranan. Saling memberi dan menerima serta mengalah bukanlah bermaksud anda tiada pendirian, tetapi lebih kepada adat perhubungan yang harus diterap.

Tanda-Tanda Si Dia Tidak Setia

 Dalam perhubungan sama ada yang sudah berkahwin ataupun yang mempunya kekasih hati, pastinya ada sahaja permasalahan yang timbul tentang kesetiaan dan kepercayaan. Kedua-dua ini adalah aspek yang paling penting dalam perhubungan agar ianya berkekalan.

Tidak kira perempuan atau lelaki, kedua-duanya memainkan peranan dalam aspek setia dan percaya dalam perhubungan. Tiada kata yang lelaki sahaja yang perlu menunjukkan sikap setia itu tidak pula perempuan. Perempuan juga mestilah setia dan taat kepada kekasih apatah lagi yang sudah berkahwin.

Namun, pastinya ada yang boleh merosakkan perhubungan atau rumahtangga yang telah termeterai. Ianya boleh dilihat dari cara-cara dan sikap si dia. EH! berkongsi tanda-tanda jika si dia tidak setia dalam perhubungan kalian.

1. Jarang berhubung
Jika si dia sudah mula menunjukkan sifat tidak endah kepada anda, apatah lagi untuk menjenguk anda tatkala ditimpa sakit, cuba bertanya khabar atau berbincang.

2. Suka mengelak dari berjumpa
Apabila si dia asyik mengelak dari berjumpa dengan anda, cuba bertanya pada si dia kenapa dan jika sudah banyak kali diberinya seribu satu alasan, sudah patut anda perbincangkan tentang status perhubungan kalian.

3. Pantang bila melihat anda menyentuh telefon bimbitnya
Tanda-tanda paling ketara si dia mempunyai orang lain adalah apabila anda mungkin berniat hanya untuk melihat telefonnya atau bermain game dan disaat itu juga anda dimarahinya tanpa sebab yang munasabah. Takkanlah sudah lama bersama sebelum ini tidak pernah pula dimarahinya tatkala melihat telefon bimbitnya secara tiba-tiba dimarah tidak tentu pasal.

4. Cara si dia menghantar mesej atau Whatsapp kepada anda aneh dan tidak seperti sebelumnya
Mungkin ini juga satu petanda di mana si dia sudah mula melayan anda dengan mesej yang sangat ringkas dan asyik memberi alasan sedang berbuat kerja walaupun pada waktu tengah malam atau hari cuti.

5. Minta break tanpa sebab

Tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Pastinya ada udang di sebalik batu. Padahal berhubung juga semakin berkurang, bila berhubung ada saja alasannya untuk mengelak, bila di ajak berjumpa ada sahaja 1,001 alasan, dan secara tiba-tiba meminta break dengan perhubungan anda dengan sebab yang tidak munasabah, pastinya ada sesuatu yang tidak kena dengan si dia.