Isnin, 4 Januari 2016

Antara CINTA dan NAFSU

1. Cinta itu membahagiakan, Nafsu itu Membahayakan
Cinta yang sebenarnya selalu menunjukkan jalan atau arah menuju kebahagiaan untuk orang-orang yang menjalaninya. Seorang pecinta yang sudah menemui dan memahami makna cinta sejati dalam dirinya akan berada pada keadaan yang membahagiakan.
Sebaliknya, orang-orang yang tertipu dengan nafsu dan menganggap nafsu adalah cinta akan berada dalam situasi yang membahayakan. Kita tidak boleh mempertikalkan bahawa di mana ada kebaikan, di situlah syaitan menggoda manusia agar terjerumus ke dalam keburukan dan dosa.
Seseorang yang mencintai pasangannya dengan sebenar-benar cinta akan menjadikan hubungannya menuju kebahagiaan sejati dengan cara menjaga dan menyayangi pasangannya.
Tanpa merosak dan menyakiti, serta membawanya jauh dari kemaksiatan. Sebaliknya,  orang-orang yang menjalin hubungan dengan landasan nafsu, mereka akan membawa hubungannya kearah kebahagiaan yang palsu dan hanya berorientasi pada fizikal, dalam hal ini adalah seks. 
2. Cinta buat kita ketawa, Nafsu buat kita Kecewa
Kalau diibaratkan hubungan seperti sawah, maka cinta adalah padi dan nafsu adalah rumput liar. Ketika seseorang menanam padi (cinta) di sawah (hubungan) maka secara automatik akan tumbuh juga rumput liar (nafsu).
Kalau orang itu sudah mengetahui dan memahami apa itu padi (apa itu cinta), maka dia akan segera memangkas rumput liar itu (nafsu) yang tumbuh di sawahnya (hubungan).
Ketika tiba masa menuai, orang ini akan menuai hasil sawahnya (hubungan) yang ditanam padi (cinta) itu tadi berupa beras (kebahagiaan).
Lain pula dengan orang-orang yang tertipu yang menyangka rumput liar (nafsu) sebagai padi (cinta). Mereka akan memelihara rumput liar (nafsu) dan tanaman padinya (cinta) akan mati.
Pada musim menuai, tentu yang mereka dapat hanyalah sekarung rumput liar (nafsu) yang tidak dapat dimakan (kekecewaan).

3. Cinta selalu ingin memberi, Nafsu hanya ingin Diberi

Saya rasa maksud dari point ketiga ini sudah jelas. Cinta adalah memberi. Ketika seseorang menjalin hubungan atas dasar cinta maka hal pertama yang dilakukannya adalah memberikan yang terbaik kepada pasangannya, bukan ingin diberi.
Logiknya, kalau kita dan pasangan sama-sama ingin memberi (kita ingin memberi kepada pasangan dan pasangan ingin memberi kepada kita) secara automatik kedua – duanya akan menerima.
Tetapi kalau kita dan pasangan inginnya diberi (pasangan ingin diberi dan kita juga ingin diberi) maka siapa yang akan memberi..? Pada akhirnya yang terjadi adalah tiada yang akan diberi kerana tiada yang ingin memberi.
4. Cinta ingin menyayangi, Nafsu ingin Merosakkan
Bagaimana cara kita memperlakukan pasangan kita? Bagaimana kita melihat pasangan kita?
Ini adalah cara termudah untuk membezakan mana cinta, mana nafsu – Cara seseorang dalam menjalin hubungan akan sangat menentukan bagaimana cara orang tersebut memperlakukan pasangannya.
Orang yang menjalin hubungan dengan landasan cinta akan sentiasa memperlakukan pasangannya dengan cara yang baik. Menjaga, menyayangi, memperhatikan dan selalu memberikan yang terbaik. Mereka mempunyai cita – cita untuk kearah berkhitbah (lamaran) dan seterusnya mempercepatkan proses rumahtangga.
Sebaliknya orang orang yang menjalin hubungan kerana nafsu cenderung memperlakukan pasangan ke arah bentuk fizikal. Setiap kali bertemu kedua inginnya dipeluk dan memeluk  dan yang lebih parah lagi kalau sampai kearah hubungan seks yang haram.
5. Cinta yang terbaik, Nafsu yang Terbalik
Cinta selalu berusaha untuk menjadi yang terbaik, berusaha memberikan yang terbaik untuk pasangan. Bagaimana dengan nafsu? Sebaliknya, nafsu selalu ingin diberi dan cenderung memperlakukan pasangan ke arah yang menyesatkan dan perbuatan dosa.
.
Jika nafsu lebih kuat berbanding cinta didalam jiwa kita, maka Islam telah menyediakan penyelesaian terbaik iaitu pernikahan. Supaya kita, pasangan kita dan keturunan kita terjaga..

Bagaimana Menghapus Rasa Cinta Pertama dan Bayangan Wajahnya?

Rasa cinta tidak mudah dihapuskan.
Apatah lagi cinta pertama. Hal ini memang menyesakkan apabila kita kita berusaha mengatasinya. Apabila bayangannya kembali dalam memori, bahkan sering menghantui mimpi-mimpi.
Malah peluang bersanding juga sudah tiada lagi, apa yang harus dilakukan?
Menangis? Bersedih? Menyesali perkara yang terjadi? Berasa tertekan, sakit hati, kecewa, bahkan berasa mahu membunuh diri?
Saya yakin, hal itu tidak akan kita lakukan.
Mari kita hilangkan rasa kesal yang tiada guna dan kekecewaan tanpa makna.
Memang mudah diucapkan, tetapi bagaimana sekiranya bayangannya masih hadir dan mengganggu aktiviti harian?
Padahal, kita sudah berusaha membuangnya jauh daripada kehidupan.
Abdullah bin Mas’ud menasihatkan, “Apabila kamu kagum kepada seorang wanita (atau lelaki), ingatlah semua kekurangannya.”
Maaf, ini bukannya tajassus atau mencari aib dan mengorek kekurangannya. Ini adalah nasihat supaya kita tidak dipermainkan oleh pesona hati, dan tidak dibuai oleh gelojak nafsu sehingga menjadi permainan syaitan.
Kadangkala, cinta membuatkan mereka yang celik menjadi buta, mereka yang punya telinga menjadi tuli, serta mereka yang mempunyai hati menjadi alpa dan tidak merasa.
Lihat mereka yang sedang asyik berpacaran, biasanya mereka tidak lagi mempedulikan keadaan sekeliling.
Walaupun dilihat oleh orang ramai, mereka sengaja berpura-pura tidak mempedulikannya. Telinga mereka utuh dalam menerima pelbagai teguran dan kritikan.
.

Tidak lagi mahu diganggu bayangan wajahnya

Ya, sekiranya tidak mahu lagi diganggu oleh bayangan wajahnya, sentiasa ingat pada kekurangannya.
Kita lebih tahu memilih dan mengungkap kata-kata demi matlamat itu. Tidak perlu disampaikan pada dirinya, cukup dalam hati sahaja.
Walaupun sebenarnya tidak baik memandang remeh kepada orang lain, namun tujuannya supaya kita tidak leka dan terseksa oleh bayangan wajahnya, dan tidak dipermainkan nafsu yang menggunakan nama cinta.
Kita juga tidak terbuai oleh penipuan si durjana. Kuburkan semua kenangan masa silam, dan jangan mengungkit lagi supaya tidak timbul kesedihan.
Tuliskan diatas sehelai kertas..
Sekiranya kita masih sukar melupakan dia, tulis sahaja namanya pada sehelai kertas. Koyak kertas itu dan katakan kita sudah melupakan dirinya dan membuang jauh bayangan wajahnya.
Ini bukan bagi menunjukkan rasa benci, dengki, apatah lagi dendam. Kita melakukan begitu supaya kita tidak mahu hanyut dalam kesedihan, tidak terseksa dalam kekecewaan, dan supaya kita dapat segera melupakannya.
Sekiranya tidak, bayangannya akan sentiasa hadir dalam kehidupan kita, menghantui setiap mimpi, dan mengganggu setiap langkah.
Pasti kita tidak mahukan begitu, bukan?

Melupakan Kebaikan si dia..

Saya tidak bermaksud menyeru kita menjadi naïf, tidak membalas budi, apatah lagi tidak berterima kasih. Secara logiknya, kebaikan seseorang memang perlu dikenang.
Namun tujuan kita melupakan kebaikan mereka adalah supaya kita tidak dipermainkan oleh bayangan wajahnya, supaya kita tidak berasa, dirinya adalah insan terbaik dan satu-satunya untuk kita.
Dan supaya kita kita tidak mengganggap dia sebagai putera atau bidadari yang tiada tolok bandingnya.
Sehinggakan apabila kita tidak berjaya mendapat cinta dan tidak bernikah dengan dirinya, kita mengalami kekecewaan yang luar biasa. Seolah-olah hilang semuanya.
Ingat, dia juga manusia biasa seperti kita. Allah yang menetapkan takdir supaya dia berbuat baik kepada kita.
Walaupun dia pernah memberikan nasihat berharga, buku-buku, ataupun barang-barang yang sering kita ertikan sebagai tanda cinta dan setia.
Namun sekiranya kemudian, sekiranya perpisahan terjadi, anggap semua itu pemberian biasa daripada seorang manusia kepada manusia yang lain.
Hanya seperti sahabat yang mahu mengukuhkan tali persahabatan denganmemberi hadiah.
Sekiranya hadiah ataupun barang yang dia beri menjadikan kita terseksa dan sukar melupakan dirinya, lebih baik musnahkan semua barang itu.
Ada kalanya terasa berat melupakan dia yang pernah menembus dinding pertahanan hati. Ini mungkin kerana kebaikannya masih terus membayangi langkah kita.
Kadangkala dunia menjadi sempit bagi mereka yang mengalami rasa kecewa dan patah hati, sehinggakan apa-apa yang terhampar di hadapan, tidak dirasakan, Gunung yang tinggi menjulang, terasa rendah, Langit yang luas terbentang, terasa sempit. Apa yang ada hanya bayangan wajahnya.
Padahal dia adalah orang yang kita anggap sebagai kekasih hati sehidup semati, hanya daripada makhluk Allah s.w.t yang sudah ditakdirkan untuk berbuat baik kepada kita. Sudah tertulis dalam takdirNya, dia berbuat begitu.
Adakah salah sekiranya kita terus mengenang semua kebaikan dia? Tentu tidak salah.
Tetapi, sekiranya kita bertekad melupakan dia, lupakan juga kebaikan-kebaikan yang dia lakukan. Apa ertinya kata-kata ‘Saya mahu melupakan awak’, tetapi tiada kesungguhan kearah itu.
Apa ertinya berusaha membuang jauh bayangan wajahnya, tetapi foto-fotonya masih kita simpan, surat-surat, dan mesej daripada dia masih kita jadikan koleksi.
Begitu juga dengan semua pemberian daripada dia.
.

 Jangan membatasi diri pada satu nama

Jangan membatasi diri hanya pada satu nama, iaitu orang yang kita rasa suka dan yang kita cintai.
Sedangkan orang yang sudah meminang ataupun dipinang pun tidak dijamin menjadi jodoh terbaik. Inikan pula orang yang hanya muncul dalam istikarah atau hanya sekadar kita curi-curi pandang.
Kita tidak akan tahu sebab-musabab Allah menetapkan begitu. Tetapi yang pasti,  semua ketetapan Allah itu mempunyai hikmah dan kebaikan kepada kita, sama ada kita sedar atau tidak.
 Kita perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi semua kemungkinan. Semuanya perlu dipersiapkan, termasuk persiapan mental.
Kita perlu bersedia menghadapi perkara yang bercanggah dengan harapan.
Luqman Al-Hakim berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya ada sesuatu menimpamu, sama ada kamu suka ataupun benci, katakana dalam hatimu, itu adalah yang terbaik untukmu..’
Allah s.w.t menjamin akan memenuhi apa yang dipilih untuk kita, bukan apa yang kita pilih untuk diri sendiri, dan pada waktu yang Dia tentukan, bukan pada waktu yang kita mahukan.

Penutup: Pertemuan Yang Menyimpan Hikmah.

Allah tidak pernah lalai. Pertemuan kita dengan dia pasti ada ibrah atau pelajaran berharga. Antaranya:
  • Pertama, kita tidak dibenarkan memutuskan ukhwah dengan dia. Oleh itu, berusaha untuk bersikap wajar dan seimbang.
  • Kedua, Allah mahu melatih mental kita untuk bersedia menghadapi reality
Bukankah pertemuan menjadi seksaan batin apabila tidak dihadapi dengan hati yang dingin? Bukankah perjumpaan membuatkan hati mendidih, wajah pucat, kurang keyakinan diri, bahkan rasa malu yang berlebihan, terutama pada mereka yang dikecewakan?
Lantas, adakah kita perlu memalingkan wajah, bersikap acuh tidak acuh, dan kasar?
Bukankah Allah Maha Lembut dan mencintai kelembutan, dan Rasulullah s.a.w juga orang yang lemah lembut?
Cubalah bersikap wajar, tenang dan seimbang.
Jangan berasa lemah dan rendah, walaupun seakan-akan kamu kehilangan muka, dan tidak berharga di hadapan dia.
Setiap orang melalui masa silam yang berbeza.
Ada yang menyenangkan sehingga membuatkan kita tersenyum apabila mengenangnya. Ada pula yang menyakitkan ataupun memalukan sehingga membuatkan kita berasa resah, rendah diri, sedih, bahkan marah dan geram apabila tiba-tiba terkenang kembali.
Jadikan masa silam sebagai kenangan. Tidak perlu lagi bersedih apabila mengingatinya. Semuanya telah berlalu pergi seiring dengan bergantinya waktu.
Jadikan masa kini sebagai kesempatan bagi mengukir mimpi, meraih prestasi, dan mengoptimumkan potensi yang kita miliki.
Jadikan masa depan sebagai sasaran yang menyimpan sejuta harapan.
Keeps your head up
Pada waktu kita berjumpa dengan dia, walaupun terlintas perasaan malu, rendah diri, bahkan jengkel – jangan berasa diri kita rendah dan lemah!
Tegakkan kepala, dan yakini betapa setiap kejadian termasuk pertemuan kita dengan dia, pasti ada hikmah yang berharga. InsyaaAllah.